Terbaca satu mesej di wall facebook
tentang pembunuhan ikan lumba-lumba di Kepulauan Faroe, Denmark.
Kandungannya menceritakan tentang saban tahun, kira-kira 2000 ekor
menjadi mangsa kezaliman penduduk di situ.
Amalan ini telah menjadi budaya dan
kepercayaan mereka sebagai upacara untuk meraikan golongan remaja lelaki
yang bakal menginjak ke alam dewasa. Ia disambut sebagai perayaan wajib
setiap tahun sejak berabad lamanya. Kanak-kanak sekolah juga diberi
cuti sempena perayaan ini. Tujuannya adalah untuk memberi pengalaman
kerana mereka juga bakal menjadi dewasa. Mereka akan berlari ke teluk
dan memanjat batuan dengan penuh teruja seumpama mahu menonton sebuah
persembahan yang menyeronokkan.
Lebih mendukacitakan kebanyakkan ikan
lumba-lumba yang terbunuh akan dibiar mereput dan membusuk kerana
dagingnya yang tercemar dengan sisa logam berat dan lain-lain toksin
tidak memenuhi piawaian Kesatuan Eropah (EU) untuk tujuan eksport. Jadi
pembunuhan kejam ini tidak memberi apa-apa makna untuk industri
perikanan mereka atau sebagai sara hidup penduduknya melainkan hanya
pembaziran dan kezaliman terhadap haiwan.
Oleh kerana pelancongan
merupakan industri kedua terbesar bagi Faroe, terdapat cadangan oleh
beberapa pihak supaya memboikot dengan tidak menjejakkan kaki ke
kepulauan tersebut.
Satu petisen
untuk Perdana Menteri Denmark juga telah diwujudkan bagi membantah
tindakan kejam yang amat tidak bertamadun dan menyumbangkan kepada
masalah kepupusan ikan lumba-lumba. Semua diseru untuk menyertainya dan
terus sebarkan supaya matlamat dapat dicapai.
SETELAH mesej tersebut selesai dibaca, saya turut merasakan tindakan mereka itu sangat kejam. Namun naluri ingin tahu tentang pulau ini dan kisah sadisnya membuatkan saya mula mencari maklumat di internet.
Setelah melihat potret panorama
landskap Kepulauan Faroe, ia sangat memikat perasaan. Damai dan tenang
dengan lautan yang terbentang luas, kehijauan gunung-ganang dan suasana
malam yang bercahaya seolah-olah pulau ini sentiasa hidup. Rumput
dibiarkan tumbuh subur diatas atap-atap bangunan dan kediaman
mengekalkan lagi kehijauan pulau.
Ia terletak di tengah-tengah barat laut
Atlantik Utara Scotland dan pertengahan antara Iceland dan Norway.
Perkataan Faroe bermaksud biri-biri. Terdiri dari 18 pulau dan salah
satunya tidak didiami iaitu Pulau Lítla Dímun. Penduduknya adalah
sekitar 50,000 orang.

Ini adalah antara pemandangan yang menjadi kegemaran, ia seolah berada di alam fantasi.
Mengenai kisah pembunuhan ikan
lumba-lumba pula, terdapat cerita menarik yang ingin dikongsi. Amalan
pemburuan ikan ini terutama ikan paus dari spesis Pilot oleh penduduk
pulau tersebut telah menjadi tradisi sejak 1200 tahun
dahulu dan dilakukan pada setiap musim panas. Dengan terdamparnya
keindahan yang meluas di Faroe dan mengandaikan setiap penghuninya
menghargai apa yang mereka miliki, seakan tidak percaya mereka tega
melakukan pembunuhan ikan paus secara besar-besaran.
Bagi mengawal kegiatan pemburuan dan ancaman kepupusan, pihak berkuasa telah merangka undang-undang yang perlu mereka patuhi. Undang-undang tersebut antaranya ialah spesis yang boleh diburu, peralatan pemburuan yang digunakan, lokasi pemburuan dan penyembelihan yang dibenarkan, merekod hasil tangkapan dan ikan paus pilot yang ditangkap tidak boleh dikomersialkan.
Setiap kali tibanya musim panas, para nelayan akan berkejaran dengan bot masing-masing untuk mendorong ikan-ikan ke teluk dan akhirnya terperangkap di kawasan yang cetek. Pada saat itu, sekumpulan penduduk lelaki dan pemburu paus yang sudah bersedia menunggu pula mengambil peranan. Mereka akan memasuki kawasan yang sudah dipenuhi dengan ikan, mengheretnya ke daratan dan terus menyembelihnya dengan pantas bagi mengurangkan penderitaan pada haiwan tersebut.
Faktor
rupa bumi Faroe terdiri dari batu-batuan dan tidak sesuai untuk
aktiviti pertanian. Gandum mahupun sayur-sayuran sukar untuk ditanam.
Oleh kerana itu, sumber utama makanan penduduk tempatan adalah hasil
laut, terutamanya ikan paus dan haiwan ternakan. Untuk sepanjang musim
sejuk, mereka hanya akan makan daging yang telah dimasinkan atau
dikeringkan. Jelas menunjukkan telah berabad lama, penduduk terpencil di
kepulauan Atlantik Utara ini bergantung kepada ikan paus yang menjadi
sumber utama sebagai makanan dan vitamin untuk kehidupan mereka.
Daging dan lemak ikan paus merupakan makanan ruji dan bahagian paling penting kepada penduduk pulau tersebut. Lemak, contohnya merupakan bahan penting untuk menghasilkan minyak bagi tujuan masakan, bahan bakar lampu dan lain-lain. Manakala bahagian kulit dijadikan tali dan tali kail, bahagian perut pula dijadikan pelampung. Sumber dari ikan paus pilot hanya disimpan, disediakan dan untuk dimakan dirumah. Ianya tidak didapati di pasar raya dan ia juga tidak boleh di eksport.
Kebanyakkan warga pulau sepakat menyatakan hak mereka untuk terus menangkap ikan paus kerana ia tradisi nenek moyang mereka sejak berabad lamanya. Mereka mempertahankannya dengan 3 hujah; pertama – mereka memburu paus hanya pada musim panas, kedua – hanya bertujuan untuk pengagihan makanan di kalangan isi rumah tempatan dan ketiga – spesis tersebut belum mengalami kepupusan.

Menurut salah seorang penduduk tempatan,
mereka lebih gemar memburu ikan paus sebagai keperluan makanan yang
utama dan lain-lain keperluan yang penting. Sekiranya bernasib baik,
kira-kira 700 ekor ikan paus yang berjaya ditangkap. Namun jika tidak,
hanya 5 ekor pada satu musim. Hasil tangkapan ikan paus itu juga akan
diedarkan kepada seluruh penduduk secara sama rata tanpa mengira sama
ada mereka telah mengambil bahagian dalam memburu atau tidak. Jadi tiada
isu pembaziran seperti yang diperkatakan.
Beliau juga mempelawa pelancong untuk datang ke Pulau Faroe, “It is a beautiful place. Come visit us and then make an oppinion.”

Apa yang boleh saya katakan, keindahan tidak bererti sekiranya kesejahteraan dan keamanan alam semesta tidak dipelihara.


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.