Sang Setia

Thursday, April 28, 2011

Bertuah Sungguh Dapat Suami Macam Ni


Lebih kurang tiga minggu yang lepas saya membawa isteri ke 'Mahkota Medical Centre', dia mengadu kepada saya kepalanya pening, rasa mual dan badanya lenguh-lenguh. Saya tanya dia"mengandung kot?" Dia kata tak ada. Oleh kerana 2-3 hari macam tu saja,saya
bawak dia jumpa doktor dan ternyata.... isteri saya mengandung dua bulan. Emmm saya dah agak dah.Maka bermulalah cerita baru dan haluan sejarah masa depan akan pastinya berubah lagi.

Dia akan merasa loya dengan bau yang sebelum ini senang baginya, termasuklah bau badan saya. Morning sickness yang teruk sekali bagi isteri saya.Kasihan sungguh, terbaring saja sepanjang masa. Makan tak boleh, minum tak nak, apa pun tak nak. Adakalanya isteri saya semalaman tak dapat tidur, kadang-kadang tu asyik nak tidur saja. Selesai saja solat Isyak dah masuk bilik. Pada awalnya saya tidur
kat luarlah sebab dia tak boleh bau badan saya. Saya fahamlah orang mengandung memang macam tu, sekarang ni dah boleh tidur dengan saya dan saya sudah tahu macamana nak elakan insomnia yang dialaminya, iaitu dengan membaca Al-Quran sehingga isteri saya terlelap.Memang kebiasaan sebelum mengandung pun saya akan membaca Al-Quran diatas katil di sisi isteri sebelum tidur sehinggalah dia terlelap.

Sekarang saya terus membaca Al Quran disisinya sebagai ubat tidur bagi isteri dan anak dalam kandungan. Adakalanya sampai 2-3 jam.Bukan itu sahaja, saya juga sentiasa bercakap-cakap dengan janin dalam perutnya. Perkara yang mula-mula saya ceritakan padanya ialah tentang tauhid. Saya bermula dengan kitab pertama yang saya pelajari dahulu iaitu kitab 'Kasyaful Mahjub'. Mungkin ada pembaca yang berkata saya terlalu ghairah, kebarangkalian untuk janin survive masih tipis. Tapi mana ada ayah yang tak berharapan. Segarang-garang harimau pun tak makan anak, apatah lagi saya. Apa yang akan berlaku pada kemudian hari adalah diluar bidang kuasa saya. Siapa saya untuk mempersoalkanya.

Saya bercerita kepadanya tentang Allah, zat, sifat, asma, afal. Dan cerita itu kembali bercerita kepada diri saya. Ada yang menghantar email dan bertanya bagaimana mahu mensihati anak agar tidak degil. Jawapan yang mahu saya nyatakan bukan hanya untuk anak tetapi untuk sesiapa sahaja terutamanya yang mempunyai hubungan rapat dengan kita.Tak kiralah anak, isteri atau suami. Bagaimana?

1. Semasa anak atau isteri kita sedang tidur inilah waktu yang paling sesuai terutamanya di waktu dua pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya(sub conscius mind) adalah paling optimum ketika ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar).

2.Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke ubun - ubun orang yang ingin anda nasihati.

3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah ke atas junjungan Nabi Muhamad dan bacalah surah alfatihah. Kemudian terus dengan berzikir didalam hati dan jangan putuskan zikir anda.

4. Angkat ibu jari anda,kalau boleh janganlah di putuskan zikir didalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai mengejutkanya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya. Kebiasaannya saya akan menasihati isteri saya agar tidak selalu melewatkan solat,banyakkan berselawat, banyak bersabar.

Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda

5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak. Insyallah saya doakan diri saya dan anda berjaya dengan kaedah ini.

Pernah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi AnNu'man), seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah. "Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya. Jawab bapa Imam Abu Hanifah "Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan". Kalau didengar pernyataan ini tentu aneh bagi kita bukan. Bagaimana mungkin manusia yang belum dilahirkan sudah di didik. Namun apa yang ingin disampaikan oleh Tsabit (bapa Imam Abu Hanifah) ialah dia sendiri telah diasuh, manakala isterinya juga sudah di didik dan Hanafi sendiri sudah dididik sejak dari kandungan lagi. Saya beri anda satu logik akal, acuan yang bulat mana mungkin menghasilkan kuih segiempat. Begitu juga dengan anak dan isteri kita. Mereka adalah cermin kepada diri kita sendiri.

Saya bacakan kisah ini kepada janin yang sedang membesar dalam perut isteri saya. Saya sentiasa berdoa agar dia terus membesar dan dilindungi Allah sebagaimana Allah memelihara Imam Abu Hanifah. Saya nasihatkan dia dengan nasihat yang disuarakan oleh Luqman Al Hakim kepada anaknya. Saya bacakan kisah para rasul, para nabi,wali songo, tujuh wali melayu kepadanya. Cuma isteri saya menasihati agar suara saya tidak terlalu kuat, bimbang didengar oleh jiran, apa pula kata mereka nanti.

Dalam kepekatan malam, isteri saya sudah pun nyenyak dibuai mimpi. Saya baru selesai membaca surah yasin di sisi isteri hingga dia terlelap. Saya kehalaman rumah, mahu merenung langit malam, satu-satunya hobi saya semenjak kecil semenjak di rumah anak-anak yatim piatu, saya bawa hingga kini. Langit agak terang dan bersih. Saya bersandar dibangku marmar. Kalau isteri saya sihat pastinya dia menemani saya disini, kami akan bercerita tentang segala-galanya, tentang masa depan, tentang anak, tentang cinta, tentang tuhan.

Saya terus merenung langit malam, saya anak yatim piatu yang ditinggalkan ditengah padangrumput,sehingga sekarang tidak diketahui siapa ibu ayah saya. Kini saya akan menjadi ayah. Bermula dari saya akan wujud salasilah keturunan yang baru.Saya bertekad dalam hati, Insyallah jika anak ini lahir, dia tidak akan saya biarkan membesar seperti saya. Dia tidak akan saya biarkan menagih kasih dirumah kebajikan.Dia tidak akan melalui zaman pahit seperti saya. Dia tidak perlu dibohongi yang teddy bear adalah'mama'nya seperti saya. Air mata ini mengalir lagi. Mudah benar ia tumpah.Oh! janganlah tumpah lagi.Sudah terlalu banyak tertumpah.Kalau mahu tumpah biarlah ketika sujud menyembah ilahi.Pesan guruku air mata lelaki jangan ditumpahkan sia-sia.

Saya tidak mahu terus melayan perasaan,segera saya kuncikan pintu dan ke kamar tidur.Isteri saya telah pun nyenyak dibuai mimpi.Inilah 'bintang timur' dalam hidup saya.Ia sentiasa bersinar cemerlang dalam hidup saya,memberi harapan,keyakinan,kesetiaan dan cintanya kepada saya.Insyallah tidak lama lagi,akan muncul 'bintang timur kecil' dalam hidup saya.

**Kisah hamba ALLAH yg bergelar saya ini adalah BUAT MUHASABAH CINTA DAKU, KAMU DAN SEKALIAN UMMAT.. (,^^)

Tuesday, April 26, 2011

Khasiat Avokado


BUAH avokado kini dipromosi menjadi sebahagian diet sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia.


BUAH avokado jarang sekali dimakan sebagai menu pencuci mulut oleh masyarakat setempat. Sedangkan hakikatnya, avokado merupakan antara buah terbaik yang tersenarai antara beberapa jenis buah-buahan yang lemaknya terdiri daripada jenis lemak tidak tepu seperti buah zaitun dan kacang tanah.

Tetapi kini, banyak pendedahan mengenai nutrisi dan khasiat yang terkandung di dalamnya menyebabkan buah avokado menerima populariti yang semakin tinggi.

Menurut Pakar Hortikultur dari Queensland, Jodie Campbell selain daripada produk kecantikan, buah avokado juga sangat sesuai dimasukkan dalam pelbagai jenis hidangan masakan Barat mahupun Asia.
“Hanya dengan sedikit tambahan, ia mampu memberi kita manfaat kesihatan harian yang sangat diperlukan oleh badan. Buah avokado juga mengandungi lemak tidak tepu yang membantu mengekalkan berat badan seimbang selain mempunyai kandungan gula dan garam yang rendah.

“Ia juga mengandungi nutrien lain seperti vitamin A, B termasuk B6, niasin dan riboflavin, C dan E. Malah, ia juga mengandungi mineral seperti zat besi, magnesium dan kalium selain diperkaya dengan fiber dan folat. Namun, ia bebas sodium dan kolesterol,” katanya yang hadir untuk mempromosikan buah tersebut di Berjaya University College of Hospitality (BUCH) untuk sebuah program latihan A Taste of Australian Avocados baru-baru ini.

Program interaktif itu dianjurkan oleh Euro-Atlantic Sdn. Bhd. yang merupakan pengimport buah-buahan, sayuran dan beberapa jenis makanan laut yang segar dan beku. Program itu dihadiri lebih 100 peserta daripada pelbagai sektor perniagaan termasuk dari hipermarket, supermarket dan peruncit.
Selain menceritakan khasiat buah tersebut, Campbell yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam bidang nutrisi buah avokado, turut berkongsi pelbagai topik berkaitan buah avokado termasuk cara yang betul untuk memegang buah tersebut, proses penghantaran dan bekalan. Tidak ketinggalan beliau memberi tip mengenai cara pemasaran buah berkenaan.

“Selalunya apabila kita membeli buah kita akan picit di bahagian tengah-tengah, tetapi disebabkan buah avokado mempunyai tekstur yang lembut, cara yang betul ialah dengan hanya menggenggam sedikit sahaja,” kata Campbell yang turut memberitahu tekstur avokado masak yang lembik sesuai dijadikan makanan pertama bayi.

Katanya, kandungan lemak mono tidak tepu dalam avokado penting untuk tumbesaran bayi. Hanya dengan melecek isinya, tersedia satu jenis hidangan bayi yang berkhasiat.

Dalam pada itu, seorang chef, Malcolm Goh turut mendemontrasi cara mudah menyediakan menu sihat iaitu Avocado Zimbabwe.

Tambah Campbell, pihaknya kini banyak mempromosikan kebaikan buah avokado kepada orang ramai kerana ramai yang kurang faham mengenai buah tersebut.

“Buah avokado juga boleh membantu mengurangkan kadar kolesterol dan baik untuk hati manakala kandungan vitamin E nya bagus untuk kulit,” katanya.

Sementara itu Penolong Pembekal Luar Negara Euro-Atlantic, Su’aidah Ahmad berkata, pihaknya memilih untuk mempromosikan buah avokado dari Australia atas permintaan tinggi pelanggan.

“Kami dapati pelanggan lebih gemar memilih avokado Australia berbanding Mexico dan Sepanyol kerana kualiti dan rasa.

Monday, April 25, 2011

Hari Bumi Sedunia 22 April

Semoga kita sama2 menjaga alam anugerah Allah ini... (insan Kerdil)

 

Friday, April 22, 2011

Kehebatan Pulau Nami Korea


Lokasi drama Winter Sonata terkenal di seluruh dunia

Pulau Nami di Korea Selatan ternyata begitu asing sehinggalah dipopularkan menerusi drama televisyen, Winter Sonata, beberapa tahun lalu yang menyaksikan kehadiran ramai peminat mengunjungi destinasi ini. Namun, keunikan sebenar pulau kecil ini bersandarkan keindahan alam semula jadinya serta cetusan ilham seninya, termasuk arca menggunakan barangan terpakai.


Pulau Nami, mungkin sebelumnya hanya dikenali rakyat negara ginseng itu atau penduduk berdekatan, tetapi penangan Winter Sonata membuatkan pulau kecil berkenaan terkenal di kalangan peminat drama bersiri itu di seluruh dunia.

Walaupun drama itu sudah lama dipertontonkan, kita mungkin dapat melihat riak muka pelancong yang mungkin mengikuti sepenuhnya perjalanan hasil karya berkenaan, cukup teruja tatkala menjejaki sisa cinta ditinggalkan Joon-sang dan Yu-jin.

Pulau tanpa penduduk itu terletak di tengah-tengah Sungai Han dan ia yang berfungsi semata-mata bagi tujuan pelancongan dikatakan milik orang perseorangan, bukan Kerajaan Korea.

Setiba di Pelabuhan Gapyeong, perjalanan perlu diteruskan menaiki feri menyeberangi Sungai Han yang mengambil masa kirakira lima minit. Ferinya amat unik apabila dihiasi bendera negara di dunia yang pelbagai rupa dan corak.

Kibaran bendera pelbagai negara itu sesuai dengan slogan pulau berkenaan `Di Naminara (Republik Negara Nami), kita semua bersaudara´.
Saat feri `merempuh´ apungan ais, wajah penumpang yang meminati Winter Sonata bagaikan tidak sabar-sabar untuk menjejak kaki di pulau cinta, saksi perjalanan hubungan dua hati yang penuh syahdu dalam drama berkenaan.

Bagi pengunjung, kunjungan ke pulau kecil itu kala masih dilitupi salji, kurang menyeronokkan kerana persekitaran yang berair, berubah kaku membeku. Khabarnya waktu terbaik dan paling romantis ke sini pada musim bunga kerana keindahannya terserlah.

Pulau Nami boleh dikatakan `kosong´ kerana tarikan ke sana hanyalah disebabkan drama bersiri itu dan kisah percintaannya. Di sini pengunjung boleh memilih menaiki kereta api, kereta atau basikal untuk meneroka keindahan persekitaran.

Laluan digunakan Joonsang dan Yu-jin untuk memadu kasih menjadi keutamaan untuk merakam gambar kenangan dan sememangnya laluan itu menjadi fokus lensa kamera sebahagian besar pengunjung pulau ini.
Poster besar kedua-dua pelakon utama Winter Sonata juga menjadi kegilaan dan sasaran pengunjung merakam gambar kenangan. Bagi peminat setia drama popular itu, kunjungan ke Pulau Nami memberi kepuasan tidak terhingga kerana setiap langkah pelakonnya bagai boleh dirasa.

Menariknya pulau ini ialah kerana ilham seninya yang terserlah, bermula daripada patung hingga hiasan yang banyak dihasilkan menggunakan barang terpakai, sesuai dengan dengan moto Pulau Nami, `Budaya, Alam, dan Pemeliharaan Lingkungan Hidup´.

Ratusan pokok memenuhi buminya dan difahamkan ia ditanam Pyong Do Minn pada 1965 sehingga seluruh jalan dihiasi pokok di sepanjang kiri dan kanannya.

Ada juga Tasik Cheongpyeong yang amat sesuai untuk perkelahan keluarga, namun anda dilarang membawa bersama peralatan memasak bagi memelihara keindahan alamnya.

Di tengah-tengah pulau, ada padang rumput luas menempatkan pusat latihan dan pendidikan, tapak perkhemahan, kolam renang, kemudahan sukan air, taman tema, lapang sasar, gelanggang kasut roda dan kemudahan penginapan.

Satu lagi perkara menarik mengenai Pulau Nami ialah tiada sebatang pun tiang telefon di situ kerana semua kerja pendawaian dilakukan di bawah tanah untuk memulihara alam semula jadi.

Pelancong juga boleh melawat beberapa ruang pameran seperti `anjung muzik´ dan `studio kraf tangan´ serta makam Jeneral Nami, pahlawan muda zaman Dinasti Choseon yang mati pada usia 26 tahun, tetapi kesan sejarah itu bukan tarikan utama pulau berkenaan.

Kisah cinta Joon-sang dan Yu-jin lebih ditonjolkan dan sejak drama itu ditayangkan di banyak negara termasuk Malaysia, Korean Tourism Organization (KTO) melaporkan jutaan pengunjung menjejak kaki di Pulau Nami setiap tahun..
 
Sebenarnya `kehangatan´ Winter Sonata merebak ke banyak tempat di Korea Selatan termasuk Yong Pyong Ski Resort yang menyediakan replika restoran lokasi penggambaran Joon-sang dan Yu-jin menikmati makan malam romantis dalam drama berkenaan.

Info

Pulau Nami

* Kira-kira 63 kilometer atau dua jam perjalanan dari Seoul.

* Keluasan sekitar 460,000 meter persegi dan kelilingnya sekitar lima kilometer.

* Memiliki lebih 300 spesies pokok pelbagai jenis.

Friday, April 15, 2011

Sepetang Di Sungai Nile Egypt

Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah... Kalau ke Mesir, mungkin anda akan terbayang Piramid Giza, barang-barang Purba Mesir dan dan banyak lagi,beribu-ribu sejarah dsini tapi yang paling utama Sungi Nile atau dikenali Sebagai Pelabuhan Nile. Petang tadi saya sempat berjalan dan sedikit pemandangan untuk dikongsikan bersama.

Satu pemandangan yang hebat dan satu suasana yang hampir serupa dengan negara kita Malaysia, tapi, mungkin negara kita Malaysia tidak ada sejarah sehebat sejarah Sungai Nile ini. Sejarahnya adalah, Ratu Syahadah kita iaitu Asiah. Mungkin ramai yang sudah tahu sejarahnya kerana di Sungai Nile inilah Nabi Musa dihanyutkan dan telah diselamatkan oleh Asiah.

Jadi saya sangat bersyukur dapat datang ke sini dan dalam fikiran saya, sangat teruja kerana ketika sekolah rendah, saya hanya mendengar cerita dari Ustazah saya iaitu Ustazah Norliza, tapi sekarang saya sendiri mengamati suasana dan cuba ingat kembali cerita-cerita dari Ustazah. Alhamdulillah...

Jadi buat anda semua, sedikit gambar kenang-kenangan dari saya dan ingatlah. Dari sejarah sungai inilah kita membesar dan semua manusia di bumi ini tahu bahawa pada zaman Nabi Musa 'Alaihissalam adalah zaman kejahatan manusia yang mengaku dirinya tuhan iaitu Firaun. Kita sama-sama renungkan... :)

                                  Saat Mentari Terbenam
                                   Tempat Nelayan Menangkap Ikan
                          Tempat Anda Menaiki Bot (Waktu Malam Sangat Cantik)
                          Bertuahnya Negara Ini Sejarah Kekal Selamanya
                                                               :)
                                  Semoga Sejarah Ini Kekal Selamanya

Sekian....:)

Thursday, April 14, 2011

Kurus Dengan Cara Mudah

Mohd Isyamfuan terjumpa artikel ini, jadi, ceritanya.. Saya selalu bercita-cita untuk turunkan berat badan, bermula sekarang saya cuba amalkan nasihat-nasihat dari pakar ini. Terima kasih pada Pakar kesihatan ni ya...:)

Assalamualaikum...


Perubahan gaya hidup penting dalam mencapai impian untuk kurus secara berkesan dengan cara yang paling murah.

Baik dari segi pemakanan dan amalan senaman harus diberi keutamaan kerana inilah yang menyumbang kepada pengurangan berat badan yang diinginkan.

Jangan sesekali kembali kepada gaya hidup yang lama apabila telah mencapai berat impian kerana ia bakal mengecewakan kita semula.

Untuk mengetahui sama ada seseorang itu terlebih berat badan atau berat yang ideal untuknya, pertama, timbang berat badan dalam kilogram, kemudian ukur tinggi dalam meter. Kira Indeks Jisim Badan (BMI) dengan membahagikan berat (kilogram) dengan tinggi (m2).

BMI bagi individu normal harus kurang daripada 25. Sebaliknya, jika BMI 25 hingga 30 bermakna individu tersebut terlebih berat dan memerlukan diet dan senaman. Manakala BMI lebih daripada 30 ialah obesiti.
Perunding masalah berat badan, Dr. Mahathir Mohamed berkata, ukuran BMI penting dalam mendapatkan sasaran jumlah berat badan ideal bagi seseorang yang mengalami masalah berat berlebihan dan ingin memulakan sebarang program diet atau menguruskan badan.

Katanya, setelah tahu apakah berat badan ideal yang ingin dicapai, maka ujian darah harus dilakukan.
Ini bagi mendapatkan profil mengenai kandungan darah, fungsi buah pinggang atau ginjal, fungsi hati, kolestrol, kandungan gula dalam darah semasa berpuasa dan analisis air kencing.

''Ujian hormon turut akan dilakukan kerana ketidakseimbangan hormon juga berkemungkinan boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan ketidakupayaan untuk mengurangkan berat badan.

"Selalunya pakar menentukan ujian hormon yang perlu diambil oleh seseorang bergantung kepada sejarah dan ujian fizikal.

''Ujian profail hormon tiroid sebagai contoh, penting bagi mengetahui ketidakcukupan fungsi tiroid yang menyebabkan kenaikan berat badan.

"Hormon lain yang memain peranan dalam pengurangan berat badan dan pengekalan termasuklah hormon tumbesaran, DHEA, estrogen, progesteron, testosteron, kortisol, insulin, leptin dan ghrelin,'' katanya ditemui di Klinik Mempermuda Kulit dan Anti Penuaan, Timeless, di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Menurut Dr. Mahathir, kekurangan hormon perlu diganti bagi mendapatkan tahap yang optimum bagi memastikan kejayaan.

''Satu lagi yang menentukan kejayaan pengurusan berat badan ialah diet. Diet mudah yang perlu diikuti ialah menghapuskan pengambilan gula, makanan manis termasuk coklat.

"Setiap kali membeli makanan baca dulu label tentang kandungan bahannya. Jika ada kandungan gula di dalamnya, dinasihatkan tidak membelinya dan setiap makanan harus mempunyai ketiga-tiga kumpulan makanan seperti protein, karbohidrat dan lemak.

''Dapatkan glycemic yang rendah daripada buah-buahan seperti epal, pir, jambu batu, aprikot dan kiwi, sayur-sayuran dan kekacang.

''Sebaliknya, ambil protein daripada ikan, ayam, daging, telur dan taufu. Lemak yang baik pula daripada minyak zaitun manakala omega-3 pula boleh diperoleh daripada minyak ikan dan minyak kelapa dara yang mengandungi medium chain triglycerides,'' jelasnya yang turut mengalami penurunan berat badan dari 104 kilogram ke 80 kilogram manakala isterinya turun dari 68 kilogram ke 55 kilogram setelah mengubah cara hidup dan mengikuti program yang dicipta olehnya.

Menurut Dr. Mahathir, diet yang sesuai ialah diet yang berkalori rendah. Sebagai contoh, program 500 hingga 800 kalori yang lengkap dengan semua zat yang diperlukan oleh badan untuk bertenaga dan sihat.
Dua minggu fasa intensif

Minum pagi: Mihun sup dicampur dengan ayam, bebola ikan dan sayur. Kurangkan mi sebanyak satu mangkuk sahaja. Minum air kosong.

Makan tengah hari: Sup ayam yang mengandungi protein, lemak dan vitamin) dicampur dengan air (kira-kira 250 kalori)

Makan malam: Tom yam, banyakkan sayur.

''Ingat, minum banyak air kerana banyak orang menyangkakan mereka lapar tetapi sebenarnya mereka hanya dahaga. Selepas minum, anda tidak lagi lapar. Selain itu, ia membuatkan anda hidrasi dan mengeluarkan toksin di dalam usus.

''Dicadangkan mengambil multivitamin yang kaya dengan chromium, selenium, zink dan vitamin E bagi memperoleh nutrisi yang lengkap.

''Selepas dua minggu, anda akan mendapat tenaga baru dan berat badan anda berkurangan,'' katanya yang mula sedar untuk menguruskan badan setelah kehilangan ahli keluarga pada usia akibat sakit jantung.

Tambahnya, langkah kedua, anda kini boleh makan dua kali iaitu sarapan pagi dan makan tengah hari tetapi tanpa gula, tinggi protein yang diperoleh daripada sayuran dan glycemic rendah daripada buah-buahan.
Selalunya, orang Malaysia pasti akan merindui nasi. Namun, anda boleh menggunakan beras glycemic rendah seperti basmathi.

''Nasihat saya untuk mengambil suku pinggan sahaja nasi manakala yang lain dipenuhi dengan sayur-sayuran, ikan atau ayam. Anda boleh mengambil satu buah-buahan glycemic rendah setiap kali makan seperti epal. Juga, makan ayam tanpa kulit.

''Ambil penggantian makanan berat untuk makan malam seperti sup supaya perut anda tidak bekerja keras semasa anda tidur,'' katanya.

Pada masa ini mulalah melakukan senaman untuk membina otot. Senaman Tabata adalah sesuai pada tahap ini. Berenang juga adalah senaman yang boleh mengurangkan berat badan, menguatkan kardio dan ketahanan badan.

''Ingat, anda seharusnya mengurangkan lemak dan otot-otot semasa fasa pertama dan inilah masanya untuk menggantikan otot tersebut. Anda tidak akan mahu kulit yang melendut di tubuh.

''Lakukan perkara yang sama pada tahap kedua sehingga anda gembira dengan berat anda. Ini mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan tetapi diingatkan jangan cepat sangat turun kerana anda perlu membina otot dan mengelakkannya daripada melendut. Jika hanya turun 5 kilogram, anda telah menambah lima hingga lapan tahun usia hidup yang sihat,'' ujarnya.

 Terima Kasih Doktor Mahathir

Selepas tiga hingga empat minggu di tahap kedua, fizikal aktiviti anda meningkat, bolehlah makan snek yang merupakan buah-buahan glycemic rendah antara pukul 11 pagi dan 4 petang untuk menstabilkan gula dalam darah dan hormon.

Apabila berat badan yang diidamkan telah diperoleh, kekalkan dengan pelan makanan sihat yang sedia ada dan teruskan senaman.